Monday, April 29, 2013

Surat dari Auntie Nina 4

Assalamuailaikum,

Baru berkesempatan untuk menaip ni...sejak balik dari KL dah mula ada tetamu yang datang dan kena masak untuk makan di office la dan lain-lain.

Esok public holiday, Anzac day...kalau di Sabah dulu pun ada juga hari Anzac ni tapi tak de la Public Holiday. Anzac Day ialah hari peringatan pahlawan Australia dan New Zealand yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua dulu.

Sebelum tu Auntie cerita dulu perjalanan nak balik ke KL dengan Air Asia. Manalah tahu nanti Azhari dengan family nak datang sini dgn Air Asia. Perjalanan dari KL ke Sydney jam 11.40pm dari LCCT. Mungkin ini last flight terbang dr LCCT.

Dari rumah abang Uncle Roslan di Cheras, Auntie naik train ERL (transit) bukan express, kalau nak naik yang express kena naik dari KL Sentral... dari stesen Bandar Tasek Selatan boleh la ambil tiket ke LCCT, jadi kaunter akan bagi dua tiket iaitu tiket train dan tiket bas, jadi bila naik train kita kena turun di stesen Salak Tinggi, di situ ada bus tunggu utk ke LCCT. Harga tiket dalam RM12.80 seorang dewasa.

Malam tu Auntie pergi awal sikit sebelum Maghrib, takut nak pergi lepas Maghrib kot la orang tak ramai naik bas nak ke LCCT tu, waktu tu hujan lebat sesangat. Dalam ERL pun ramai orang..naik bas pun ada le 12 org tak le takut sangat...di LCCCT pun ada wifi jadi Auntie duduk di MC D sementara nak tunggul pukul 10 malam...Ini cara jimat dan kalau jalan seorg atau tak bawa beg banyak, lif ada di setiap stesen... tapi tak tau la pulak jika berlaku perubahan atau tak bila LCCT dah pindah ke KLIA2 nanti... minggu lepas ada kawan Uncle Lan GM MAB (Malaysia Airport Berhad) datang rumah, dia cerita LCCT ni liat je nak pindah ke KLIA2. Dulu masa di Kota Kinabalu pun sama, sampai hari ni Air Asia tak nak pindah ke bangunan utama. Cuma kalau korang nak naik Air Asia ni kenala bawa selimut, stoking, baju sejuk, makanan boleh beli online atau beli bila lapar. Boleh juga nak bawa bun ke burger nak makan dlm flight tu, bukannya dia hambat pun jangan bawa mangkuk tingkat udah le...

Sampai Sydney pukul 10 lebih, waktu pagi pesawat di airport sini sangat la sibuk, setiap 5 minit ada 1 pesawat berlepas.

Barang makanan kering yg nak dibawa cuma kena declare ...ke Sydney pun boleh sebenarnya
kecuali daging burger, dedaun (macam pandan, serai, kayu manis), kalau bawa kek jangan yang berkrim, manalah tau korang nak bawa kat Qayyum nanti. Kalau kastam tu suruh buka beg, buka je dan explain pada dia apa benda-benda tu masa dia mengeledah beg kita. Kalau ada barang yang dia tak setuju kita bawa dia ambil, itu je, bukan dia nak marah pun.

Kat sini pun Auntie baru jumpa daun pandan harga 6 helai 2 dollar..serai dah tanam, kunyit dan daun kari belum lagi, ni dah musim sejuk kalau tanam pun tak hidup..Kukur kelapa tiada, macam mana nak buat kuih berinti kelapa...teringin nak makan kuih ketayap (kuih gulung) dan kuih lopes.

Cuaca di sini, bulan April ni musim luruh, dah mula sejuk, seperti waktu Auntie di Delhi dulu, terutama tengah malam sampai pagi. Cuma ada matahari sekarang ni, tapi kalau angin bertiup dan hujan wahh duuhhh sejuk bebenor sampai kena pasang warmer (aircond kita ada panas sejuk) tapi ada 2 biji je aircond kat dewan rumah dan bilik tidur utama. Suhu dalam 10’C malam dan siang 20'C buat masa ni la, lepas ni tak tahu le sejuk sampai berapa, mengikut kata yang dah lama tinggal di sini sampai 10'C je.

Jadi kami dah pakai baju panas le ni, winter coat belum lagi. Ada perubahan waktu sekarang beza masa dengan Malaysia 2 jam awal dari Malaysia sebelum ni 3 jam, entah le Auntie pun tak faham, hari tu 6 April mereka ubah waktu... sekarang waktu Maghrib masuk jam 5.30pm, jadi Auntie dan Qayyum kena pergi ke taman pukul 4 petang...sebab waktu gelap cepat... waktu sejuk ni orang puteh kat sini pun tak suka sebab cepat gelap..bila diorang balik office je hari dah malam, kalau di Delhi dulu semua orang suka time sejuk, pelawat pun suka dtg time sejuk. Kat sini lebih ramai orang datang waktu cuaca panas... tetapi pertengahan tahun kebanyakan negara sedang panas.

Sekarang ni Auntie sibuk kemaskan almari, kotak mengeluarkan pinggan mangkuk Auntie yang dah lama terkubur sejak menginap di Sabah dulu... baru le nak tengok balik pinggan magkuk Auntie yang dah 4 tahun tak bebuka dan tak digunakan. Banyak benor pinggan Auntie macam nak kenduri, tapi bukan le semua Auntie beli, orang kat India dulu rajin bagi... ada juga yang berkarat seperti Queen Anne tu, sayang betul, nak kena cari silver deep, pencuci perak kot le mau hilang, dan ada yang bewarna kekuningan pada set Queen Anne tu, tapi set yang lain elok je. Time ni juga la baru Auntie sibuk nak cuci cadar, selimut, sebab masa baru sampai hari tu tak de la Auntie buat semua ni, nasib baik ada matahari kalau tak jenuh nak kering...

Minggu lepas Auntie dan Qayyum cuba naik bas pergi bandar Sydney... macam naik bas di KL juga, cuma bas di sini lebih bagus kalau kita beli tiket awal (tempat beli tiket macam di seven 11 atau Newsagent)nak beli tiket 10 kali naik pun ada (lebih murah) atau tiket single atau sehala dalam 4.60 Dollar seorang, percuma untuk kanak-kanak di bawah 4 tahun, seperti Qayyum, dia pun suka je naik bas... Auntie naik bas ni pun sebab nak pergi ke office Uncle Lan, untuk makan tengah hari dengan Erma Fatima dan pelakon serta kru yang datang untuk shooting di Sydney... Oleh kerana minggu tersebut pemandu Auntie cuti balik ke Singapura, jadi Auntie pun naik la bas...boleh bawa stroller kalau naik bas dan kerusi untuk warga emas, cacat dan yang bawa bayi ada disediakan tapi kalau dah penuh kena duduk di kerusi biasa la. Perjalanan lebih kurang dari Tanjong Rambutan ke bandar Ipoh... nanti kalau Azhari datang dengan keluarga Auntie akan bawa naik bus ye...naik kereta tak muat.

Ini kali kedua Auntie jumpa Erma Fatima, tahun lepas dia shooting drama Dejavu di Kinabalu bersama Tiz Zaqyah dan Aqasha, tahun ni pula dengan Ummi Aida, Erra Fazira, Nabila Huda, Nas T pun ada dan Zul Arifin.. dengarnya ada dua drama yang mereka shoot, tapi yang Auntie tahu drama Aku Bukan Malaikat. Yang lagi satu tak tau la apa tajuk, nak tanya banyak pun tak sempat dan dapat jumpa dalam tempoh satu jam je, mereka kena sambung shooting di kawasan Darling Harbour, kami pun makan kat sebuah restoran Cina Malaysia namanya Chinta Ria, berkonsepkan warong, makanan yang kami ambil ialah jenis vegetarian dan makanan laut seperti yang dinasihatkan oleh taukeh restoran tersebut...yang paling Auntie suka kat restoran ni ialah makanan pencuci mulutnya iaitu sagu dengan santan gula merah. Ada gambarnya tapi Auntie masih tak pandai nak guna kabel untuk upload gambar daripada kamera Auntie, nanti kalau dah pandai Auntie akan email.

Qayyum pun dah bangun, kek up (wake up), nanti dia pun akan menaip sekali.

Choww.

Bergambar bersama Erra Fazira

Bergambar bersama Umi Aida



Bergambar bersama Nabila Huda