Ini surat daripada Auntie Nina. Dia tinggal kat Australia. Surat ni Auntie Nina kirim pada 24 Januari lalu. Kita baca sama-sama ye.
Sudah masuk minggu ke-2 Auntie Nina di sini. Barang rumah dah sampai selepas tiga hari Auntie Nina sampai di sini. Kami bernasib baik sebab kastam tak check barang kami, masa tu cuti tahunan (Krismas dan Tahun Baru) baru berakhir, jadi banyak kontena yang menunggu untuk diperiksa. Lalu mereka pun (pihak kastam) mungkin tak dapat nak check semua kontena yang telah lama tersadai di pelabuhan. Kalau tidak, mesti banyak barang-barang yang terpaksa dibuka untuk diperiksa kerana kami membawa perabot kayu (perabot dari India).
Perabot kayu sangat mahal di sini. Perabot biasa pun mahal, kalau di Malaysia RM1000, di sini ia mencecah RM3000 keatas, lepas tu kena pasang sendiri pula. Contohnya, kami disediakan 1 set sofa dan dining set. Nasib baik sofa telah siap dipasang tetapi dining set Uncle Roslan kena pasang sendiri. Jika nak minta mereka pasangkan kena bayar upah sebanyak 50 oz. Contohnya, harga air-cond 1800 oz, upah memasang 800 oz. Kalau kita membawa barang yang pihak berkuasa Australia tidak benarkan, kena bayar denda dan barang tersebut akan dimusnahkan.
Oklah, kita mula dengan cerita rumah di lokasi ini. 20 minit perjalanan menuju ke lapangan terbang. Nama tempat ini Maroubra di dalam wilayah New South Wales. Di kawasan tempat Auntie tinggal ni, rumah sebuah-sebuah, ada banglo setingkat, dua tingkat dan macam-macam. Rumah Auntie dua tingkat. Semua bilik berada di tingkat atas. Lantai dari tangga ke bilik semuanya diletakkan karpet. Rumah ni tidak berpagar. Kalau ada pagar pun rendah-rendah, tidak seperti di Malaysia di mana pagar tinggi-tinggi. Cuaca malam sejuk, siang kadang-kadang panas, kadang-kadang redup. Angin sentiasa bertiup, ada masanya bertiup kencang seolah-olah nak ribut. Sesekali hujan turun. Di dalam rumah tak perlu pasang kipas ataupun air-cond, buka tingkap sikit dan angin masuk. Kalau tidur waktu malam kena pakai setokin dan selimut tebal kerana sejuk, walaupun sekarang musim panas.
Waktu Subuh di sini awal, pukul 6 dah masuk waktu Syuruk, pukul 8.10 malam baru masuk waktu Maghrib. Nasib baik sekarang belum masuk bulan Ramadhan, kalau tak kena berbuka pukul 8 malam.
Petang-petang Auntie selalu jalan-jalan dengan Qayyum ke kawasan sekeliling perumahan ini. Mengikut kata jiran (orang Malaysia, berasal dari Sabah, dah lama tinggal kat sini), ada taman asuhan kanak-kanak tak jauh dari sini. Nanti esok Auntie nak pergi tengok.
Hari ini orang Malaysia di Australia cuti Maulidur Rasul, hari Sabtu pulak cuti Australian Day dan pada hari Isnin cuti umum. Australian Day ini macam hari kemerdekaan lah, Auntie pun tak baca lagi sejarah Australia ni.
Ada sebuah pekan berdekatan dan terdapat sebuah mini Mall. Nama Mall tersebut South Port Mall. Jaraknya setengah kilometer dari rumah. Kalau nak beli barang-barang runcit, ikan, sayur dan daging yang halal, terdapat di situ. Di pekan Sydney ada Asean Market dan Paddy Market. Ok, berhenti dulu, nanti cerita lagi. Qayyum tengah tidur. Dia sibuk dengan iPad je. Petang ni Uncle Roslan ada acara penyampaian hadiah untuk pertandingan golf kemudian makan di restoran orang Malaysia, namanya Restoran Kaki Lima.
Jumpa lagi dan harap sihat semuanya.
Yang Benar,
Marina Haron.
No comments:
Post a Comment